Pelajar UPNM Mengadakan Aktiviti Survival Camp di Kem Kongkoi
20 – 21 Julai 2024, Seramai 27 pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menyertai Survival Camp di Kem Kongkoi. Aktiviti ini bertujuan melatih pelajar untuk bertahan hidup dalam persekitaran mencabar dan mengasah kemahiran penting yang diperlukan dalam situasi kecemasan.
Aktiviti yang dijalankan termasuk flying fox, ikhtiar hidup di hutan, dan merempuh halangan. Aktiviti flying fox menguji keberanian dan keyakinan diri pelajar, manakala ikhtiar hidup di hutan memperkenalkan teknik asas seperti mendapatkan makanan dan air serta membina tempat perlindungan. Merempuh halangan pula meningkatkan kerjasama dan ketahanan fizikal pelajar.
Objektif utama Survival Camp ini adalah membina keyakinan diri untuk terus hidup, memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama dan tanggungjawab, serta membantu pelajar berfikir dengan tenang apabila menghadapi situasi yang kurang baik. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberikan pengalaman praktikal tetapi juga mengukuhkan semangat berpasukan dan kecekalan diri dalam kalangan pelajar.